Hari ini, 3 Oktober 2009. Ya, ikhwah fillah sekalian, sedar tak sedar, kita sudah masuk ke bulan kesepuluh bagi tahun 2009 M. Mungkin ada daripada anda yang tidak terasa betapa pantasnya masa berlalu, namun bagi saya yang bakal menempuhi salah satu peperiksaan terbesar dalam hidup saya pada tahun ini, sisa-sisa masa yang semakin sedikit ke arah SPM sememangnya memberikan signifikan yang cukup major.
Malah saya yakin, ramai antara sahabat-sahabat seperjuangan yang seangkatan dan sebaya dengan saya turut terasa bahangnya. Benar, ikhwah fillah, kita semakin hampir ke arah SPM. 6 minggu dan 4 hari setepatnya, sekiranya kiraan dimulakan pada esok hari.
Maka gundah-gelanalah hati, dan kucar-kacirlah jiwa. Apakah persiapan yang diusahakan selama 2 tahun ini sudah mencukupi? Adakah diri ini benar-benar sudah siap-siaga bagi menghadapi tiga ketul huruf yang cukup menghantui hidup kita sepanjang tahun ini? S-P-M. Sememangnya tiga keping huruf yang cukup ringkas, namun kedengarannya sahaja sudah cukup menggerunkan, apatah lagi kelibatnya semakin dekat.
Gerun? Takut? Risau? Tidak sabar?
Itulah yang sedang bermain dalam hati-hati kami. Malah bermacam-macam perasaan lain lagi. Jujur saya katakan, bulan Oktober ini bagaikan klimaks bagi persiapan saya sepanjang lima tahun jihad saya di bumi Alam Shah ini. Seusainya bulan ini, cuma tersisa 19 hari saja lagi bagi kami bertarung di medan perjuangan yang disebut-sebutkan itu.
Tamatnya SPM pula tidak bermakna perjuangan kami telah selesai, malah menjadi indikator bahawa kami bakal menempuh ujian dan peperiksaan yang hakikat sebenarnya jauuuuhhhh lebih BESAR!! Ya, itulah alam kehidupan sebenar!
Ikhwah fillah, kehidupan kita sepanjang lima tahun ini banyak berkisar di dalam kampus ini. Alhamdulillah, saya telah diberi kesedaran betapa kehidupan sebenar itu lebih luas sejak usia yang masih hijau, dan kerana itulah saya mengambil sebanyak peluang yang ada untuk menimba pengalaman. Bagi mereka yang menghabiskan waktu lima tahun ini di alam asrama, sama ada rakan-rakan saya di Alam Shah mahu pun di kampus mana sahaja anda berada, sedarlah betapa diri anda tergolong dalam golongan yang amatlah kerugian sekiranya anda tidak berusaha memajukan diri anda selama lima tahun itu. Hatta celakalah anda sekiranya diri anda lebih teruk daripada lima tahun ini, malah mungkin lebih teruk daripada sehari yang lalu!!
Semakin kita mendekati SPM juga, semakin hampir bagi kita melangkah meninggalkan kampus kesayangan ini. Ada yang tidak sabar menantikan hari 'kemerdekaan' itu, dan ada juga yang terasa sayu mengingatkan seribu macam memori yang dicipta di sini. Ya, saya sayang kampus ini. Sebaik dan seteruk mana pun kampus ini, ia tetap menjadi madrasah yang cukup berjasa dalam membentuk diri saya sepanjang lima tahun ini. Kadangkala saya berasa takut untuk meninggalkan madrasah ini, kerana hakikatnya madrasah selepas ini lebih meluas, dan dugaannya pasti lebih mencabar.
Saya pasti akan terkenangkan betapa lurus-bendulnya diri sewaktu tingkatan satu dahulu, betapa seksanya 'neraka' semasa di tingkatan dua, betapa bermaknanya pembentukan jati diri sewaktu tingkatan tiga, betapa indahnya memori-memori sewaktu tingkatan empat, dan betapa besarnya tanggungjawab menjadi 'abang sulung' sewaktu tingkatan lima. Alhamdulillah, lima tahun saya di sini bukanlah lima tahun yang kosong.
Hadirnya kita ke bulan Oktober ini juga, saya rasa sudah cukuplah tempoh masa saya untuk memikul beban tanggungjawab yang disandarkan ke bahu saya sepanjang tahun ini. Bagi saya, sudah tiba masanya untuk orang lain naik menjadi pengganti, dan insya-Allah merekalah yang akan menjadi pewaris yang bakal mencorakkan bi'ah yang lebih baik di kampus tercinta ini. Itulah doa saya, insya-Allah.
Saya masih tidak mampu melupakan perasaan sewaktu dipilih menjadi presiden sewaktu muktamar sanawi tahun lalu, bahkan tidak akan lupa sehingga bila-bila barangkali. Dan tahun ini saya telah melakukan sehabis baik bagi mencurahkan bakti. Saya tidak pernah berasakan bahawa sayalah yang paling layak untuk menyandang tanggungjawab ini, malah lebih suka saya katakan, 'saya' bukanlah presiden busas pada tahun ini, tetapi 'kami'lah presiden busas 2009.
Mungkin ada ikhwah yang memahami apa yang saya maksudkan, dan mungkin ada yang tidak. Tiba masanya nanti, insya-Allah kalian akan faham jua.
Selepas post kali ini, saya barangkali tidak akan menulis post-post terkini sehinggalah usai persediaan untuk menghadapi SPM. Dan saya amatlah berharap agar anda dapat memahami. Di samping itu, diri yang amat kerdil ini amatlah mengharapkan restu dan doa daripada kalian, kerana sesungguhnya doa ahli keluarga, guru-guru dan para sahabat menjadi senjata dan motivasi yang amat bermakna buat saya. Saya mohon maaf di atas seribu satu kelemahan saya sepanjang berukhuwwah dengan anda, serta doakanlah kejayaan saya dalam jihad yang mulia ini.
Bagi adik-adik junior, abang minta maaf sekiranya tidak mampu menjadi qudwah yang terbaik. Abang turut minta maaf sekiranya segala teguran, bahkan mungkin marah atau pun sepak terajang (astaghfirullah Al-Azim..) yang abang lakukan meninggalkan hirisan yang masih wujud di hati. Khusus bagi sahabat seperjuangan busas & badar, saya benar-benar memohon maaf atas kelemahan saya, terutamanya dalam menyediakan yang terbaik dalam perjuangan kita di jalan mujahid ini.
Tazkirah seorang sahabat masih terngiang-ngiang di fikiran saya:
"... Allah pasti akan menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa."
"(Iaitu) orang-orang yang jika Kami berikan kedudukan di muka bumi, mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, dan menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar. Dan kepada Allahlah kembali segala urusan."
(Surah Al-Hajj : 40 - 41)
"(Iaitu) orang-orang yang jika Kami berikan kedudukan di muka bumi, mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, dan menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar. Dan kepada Allahlah kembali segala urusan."
(Surah Al-Hajj : 40 - 41)
Ayuh ikhwah fillah, kita berjuang bermati-matian! Pantang seorang mukmin berundur sebelum bertempur! Dan yakinlah dengan janji Allah, bahawa sesungguhnya Dia bersama-sama dalam jihad kita!!
"Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu serta meneguhkan kedudukanmu."
(Surah Muhammad : 7)
(Surah Muhammad : 7)
Faridul Fawzan Abd Wahab
-hamba kepada ALLAH, kuli kepada DAKWAH-
Fighters 0509
-hamba kepada ALLAH, kuli kepada DAKWAH-
Fighters 0509















